Janggal bila Menteri turut bahas usul

Janggal bila Menteri turut bahas usul

PERBAHASAN usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik perhatian sidang Dewan Rakyat apabila seorang menteri turut juga mengambil bahagian berbahas.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah berbahas menyokong usul berkenaan yang dilihat amat janggal dengan amalan biasa aturan perjalanan mesyuarat.

Bagaimanapun, tiada larangan untuk menteri berbuat demikian dan Rafizi merupakan satu-satunya daripada 12 pembahas dari blok Menteri.

Ketika berbahas, Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh membangkitkan perkara itu, namun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul membenarkan Rafizi berbahas dan menjelaskan bahawa ianya tidak menjadi kesalahan dalam aturan mesyuarat.

Dalam perbahasan itu, Rafizi yang merupakan Ahli Parlimen Pandan membidas para Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang membahaskan isu remeh seperti penggunaan perkataan ‘perpaduan’ dalam kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelaskan gelaran ‘Kerajaan Perpaduan’, beliau berkata, gabungan pembangkang tiada dalam kerajaan kerana pemimpin utama mereka sendiri menolak tawaran membentuk kerajaan bersama.

Rafizi membidas Ahli Parlimen Pagoh dan Marang yang telah menolak tawaran Yang di Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri akhirnya diluluskan menerusi undi suara yang diumumkan Johari sekali gus mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen