Jawatankuasa Pengurusan Bencana siap siaga di semua peringkat – Zahid

Jawatankuasa Pengurusan Bencana siap siaga di semua peringkat – Zahid

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana telah sedia diaktifkan di semua peringkat bagi menghadapi bencana yang sedang dan bakal berlaku, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Timbalan Perdana Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata tahap kesiapsiagaan jawatankuasa tersebut sentiasa ditambahbaik bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah dilengkapi dengan keperluan asas untuk mangsa yang terkesan.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada 19 Disember telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan peringkat Bahaya yang telah dikemas kini pada 18/12 bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan peringkat Buruk bagi negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

“Luruan monsun dijangka berterusan sehingga 25 Disember dan hujan berterusan dijangka berlaku di timur dan utara Semenanjung.

“Hujan lebat berterusan juga dijangka tertumpu di Pahang dan Johor pada bermula 21-22 Disember,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid turut meminta semua Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk memastikan segala aset pengoperasian adalah mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

Ujar beliau, bagi mangsa yang memerlukan bantuan kecemasan diminta terus menghubungi talian 999 untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

“Saya menyeru semua penduduk yang berada di kawasan terdedah kepada banjir untuk patuh kepada arahan pihak berkuasa dan berpindah awal sebelum keadaan menjadi bertambah buruk sesuai dengan amaran hujan berterusan peringkat bahaya oleh METMalaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menasihati ketua keluarga untuk sentiasa memantau pergerakan keluarga di kawasan banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku kepada keluarga masing-masing. – Malaysiapost

Komen