Lapan anjing K9 kepenatan direhatkan seketika

Lapan anjing K9 kepenatan direhatkan seketika

LAPAN anjing pengesan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Faram, di Jalan Genting-Batang Kali, direhatkan seketika akibat kepenatan.

Lapan anjing itu membabitkan enam milik Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dua milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semua anjing pengesan terbabit dibawa keluar dari lokasi pencarian dengan diiringi pengendali masing-masing kira-kira jam 4 petang tadi.

Misi SAR kini memasuki hari keempat dan setakat jam 4 petang, belum ada sebarang perkembangan mengenai penemuan mangsa.

Sehingga kini, sembilan mangsa dilaporkan masih hilang dan dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan tanah, dengan 24 disahkan terkorban sehingga kini selepas mayat mereka ditemukan pada hari pertama dan kedua tragedi.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis mengesahkan seekor daripada anjing pengesan daripada baka English springer spaniel diberi nama ‘Blake’ direhatkan selepas mengalami kepenatan.

Blake dikatakan ‘kecundang’ selepas dua hari berturut-turut bekerja bertungkus-lumus di lokasi pencarian. – Malaysiapost

Komen