Ramli, Alice dipilih Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Ramli, Alice dipilih Timbalan Speaker Dewan Rakyat

AHLI Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng dipilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Pelantikan Ramli dari Barisan Nasional (BN) diumum Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul apabila menerima 148 undi manakala calon dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermiyati Samsuddin mendapat 74 undi.

Alice dari DAP turut dilantik Timbalan Speaker 2 apabila meraih 148 undi daripada ahli Dewan Rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan mencalonkan Ramli dan Alice sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Cadangan yang mewakili blok kerajaan itu disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mencadangkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermiyati sebagai calon blok pembangkang bagi jawatan berkenaan.

Cadangan Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN itu disokong Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim.

Proses pengundian bagi memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bermula selepas terdapat tiga pencalonan daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Pengundian dibuat dengan Ahli Parlimen mengisi nama calon pada kertas undian yang diedarkan kepada mereka. – Malaysiapost

Komen