Sokongan majoriti kepada Anwar, manifestasi tumpu bangunkan negara

Sokongan majoriti kepada Anwar, manifestasi tumpu bangunkan negara

SOKONGAN majoriti diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri melalui usul percaya di Dewan Rakyat hari ini adalah manifestasi kepada semua untuk bergerak ke hadapan dan memberi seluruh tumpuan untuk membangunkan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rakyat hari ini mendambakan kerajaan yang bekerja dan berfungsi untuk kesejahteraan serta kemakmuran negara.

Beliau berkata, isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Lunas demokrasi menyaksikan rakyat melalui wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan apabila usul undi percaya diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

“Alhamdulillah, maka kini sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat.

Katanya, perancangan dan pelaksanaan dasar yang mampan akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera.

“Justeru, kestabilan politik amat penting supaya rakyat Malaysia dapat bersama sederap bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan untuk membina negara ke arah yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat, petang tadi.

Usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong Ahmad Zahid, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang. – Malaysiapost

Komen