TNB siasat kejadian 3 beradik maut terkena renjatan elektrik

TNB siasat kejadian 3 beradik maut terkena renjatan elektrik

TENAGA Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tiga beradik maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di Tumpat, Kelantan pagi tadi.

TNB dalam kenyataan berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Tenaga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi.

“Sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan sisatan di samping menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, TNB turut mengulangi peringatan kepada orang ramai agar tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.

Menurut kenyataan itu, TNB akan memastikan keselamatan orang ramai sentiasa diutamakan, termasuk dengan memutuskan sementara bekalan elektrik ke kawasan yang ditenggelami air banjir atas faktor keselamatan.

“Penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan,” ujarnya.

Dalam masa sama, TNB menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa .

Malah, TNB menasihati orang ramai sentiasa menjaga keselamatan dan menghubungi talian 1-300-88-5454 bagi melaporkan pepasangan TNB yang berada dalam keadaan bahaya.

Terdahulu, tiga beradik perempuan maut, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau, Morak, Kelantan pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.45 pagi meragut nyawa mangsa yang berusia antara 20 hingga 27 tahun.

Difahamkan, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena pula kepada dua adiknya turut berada di hadapan rumah. – Malaysiapost

Komen