Zahid bentang usul undi percaya terhadap Anwar petang ini

Zahid bentang usul undi percaya terhadap Anwar petang ini

USUL undi percaya akan dilakukan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi petang persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Ahli Parlimen akan membahaskan usul undi percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri ke-10.

Usul itu dijangka dibentangkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk serta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 November lalu.

Seri Paduka selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu telah melantik Anwar dalam membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi PRU ke15.

PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 74 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu kerusi dimenangi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Semua gabungan dan ahli bebas menyokong Kerajaan Perpaduan kecuali PN

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan beliau akan mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan.

“Saya akan turut terlibat berbahas hari ini ketika sesi perbahasan undi percaya kepada Kerajaan Perpaduan sekitar jam 3.30 petang,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, usul dicadangkan itu antara lain dibentang ekoran keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang sudah menatijahkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti politik atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Situasi berkenaan tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negara ini. Idea penubuhan Kerajaan Perpaduan merupakan cerminan pandangan jauh serta keprihatinan Baginda Tuanku (Agong) demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

“Dengan ini, Dewan ini perlu mengambil ketetapan dan berikrar memberi sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya,” catat Rafizi. – Malaysiapost

Komen