Amaran henti sebar video 3 beradik maut akibat renjatan elektrik

Amaran henti sebar video 3 beradik maut akibat renjatan elektrik

ORANG ramai dinasihatkan supaya berhenti daripada menularkan rakaman video tiga beradik yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika banjir di Tumpat, Kelantan, semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan menasihati orang ramai berbuat demikian bagi menghormati mangsa dan privasi keluarga.

SKMM juga memaklumkan langkah itu bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden berkenaan.

“Dalam masa yang sama, pihak SKMM juga telah mengambil langkah proaktif mengangkat perkara berkenaan untuk perhatian dan tindakan selanjutnya oleh penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video berkaitan.

“Orang awam digalakkan untuk sentiasa mengawal selia kendiri dan peka tentang kandungan yang mereka terima atau dikongsi secara dalam talian, sama ada melalui aplikasi WhatsApp atau rakaman video di media sosial,” menurut kenyataan itu.

Dalam usaha menghentikan penularan video berkenaan, SKMM turut menggalakkan pengguna media sosial untuk membuat laporan secara terus terhadap kandungan sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.

Terdahulu, media melaporkan tiga beradik maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, dekat Morak, di tumpat semalam ketika berjalan kaki mengharungi banjir di rumah mereka.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang maut adalah Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33. – Malaysiapost

Komen