Anwar saman Muhyiddin berhubung dakwaan dibayar RM15 juta sebagai penasihat ekonomi

Anwar saman Muhyiddin berhubung dakwaan dibayar RM15 juta sebagai penasihat ekonomi

DATUK Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau menerima RM15 juta daripada kerajaan Selangor semasa berkhidmat sebagai penasihat ekonomi negeri itu.

Saman fitnah difailkan peguam cara SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak Perdana Menteri bagi menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan daripada Muhyiddin, yang dinamakan sebagai defendan, lapor FMT.

Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang Muhyiddin daripada terus menyebut, menulis, menerbit atau mengedar kata-kata fitnah yang disangkal, atau kata-kata yang mempunyai kesan sama atau serupa.

Pada 7 Disember lalu, Anwar mengeluarkan surat tuntutan kepada Muhyiddin berhubung perkara itu tetapi tidak mendapat maklum balas, membawa kepada pemfailan saman tersebut.

Anwar menuntut agar permohonan maaf tanpa syarat disiarkan dalam akhbar dan media pilihannya. Beliau juga meminta pampasan atas “kerosakan serius” terhadap reputasinya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata kenyataan Muhyiddin itu dibuat pada 5 Disember dalam kempen bagi calon Perikatan Nasional (PN), Azman Nasrudin di Taman Selasih, Kulim, menjelang pilihan raya Parlimen Padang Serai.

Kenyataan Muhyiddin disebarkan di TikTok dan mendapat kira-kira 1.1 juta tontonan, dikongsi 2,169 kali, mendapat 21,400 “like” serta 6,061 komen, menurut pemfailan mahkamah tersebut.

Anwar mendakwa keseluruhan ucapan Muhyiddin pada ceramah itu kemudian disiarkan di Facebook pada 8 Disember walaupun surat tuntutan telah dihantar kepada peguamnya sehari sebelumnya.

Beliau berkata, kenyataan Muhyiddin antara lainnya menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur.

Ia turut memberi gambaran palsu bahawa beliau seorang pendosa, pembohong, tamak dan munafik.

Kerajaan Selangor menafikan dakwaan Muhyiddin bahawa Anwar dibayar RM15 juta.

Juwairiya Zulkifli, setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata Anwar hanya dibayar nilai token RM1 setahun untuk perkhidmatannya.

Katanya, maklumat itu telah direkodkan secara rasmi dalam Hansard DUN. – Malaysiapost

Komen