Bajet 2023 dibentang semula Februari depan – Anwar

Bajet 2023 dibentang semula Februari depan – Anwar

BAJET 2023 yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi negara, akan dibentangkan semula pada Februari depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menaklumkan, beliau sendiri akan membentangkan bajet tersebut nanti.

Menurut Anwar, seiring usaha menangani cabaran kos sara hidup yang kian meningkat, kerajaan akan mengambil pendekatan lebih bersasar bagi melindungi rakyat susah serta pengusaha kecil.

Antara lain kata Perdana Menteri, dengan mengurangkan ketirisan subsidi kepada golongan mahakaya dan syarikat gergasi yang meraih keuntungan yang banyak.

“Sistem perlindungan sosial juga akan diperkukuh bagi melindungi golongan rentan dan mudah terjejas, termasuk golongan pekerja informal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat hari ini. – Malaysiapost

Komen