Banjir: Selangor sumbang RM1 juta kepada Kelantan, Terengganu

Banjir: Selangor sumbang RM1 juta kepada Kelantan, Terengganu

KERAJAAN Selangor hari ini mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membantu Kelantan dan Terengganu yang kini teruk dilanda banjir sejak dua hari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata setiap negeri masing-masing menerima RM500,000 yang akan digunakan untuk meringankan beban mangsa banjir.

Menurutnya, sumbangan itu juga sebagai tanda simpati kerajaan Selangor kepada puluhan ribu mangsa yang terkesan akibat banjir di kedua-dua negeri.

Selain bantuan kewangan, katanya, kerajaan negeri bersedia menghantar Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) dan Sukarelawan Selangor (SERVE) sebagai bantuan kemanusiaan pasca banjir.

“Kita bersimpati dengan nasib menimpa rakyat di Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir.

“Kerajaan negeri bersetuju menghulurkan bantuan kira-kira RM500,000 setiap negeri ini, selain bersedia juga menghantar skuad PANTAS dan sukarelawan SERVE,” katanya.

Menurut Amirudin, setakat jam 8 pagi tadi, NADMA melaporkan seramai 25,353 orang di Kelantan dan 37,021 di Terengganu telah menjadi mangsa musibah itu.

Sementara itu katanya, acara Sambutan Ambang Tahun Baharu peringkat Negeri Selangor juga dibatalkan.

“Keputusan itu dibuat demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir dan tragedi tanah runtuh Batang Kali,” katanya. – Malaysiapost

Komen