Hamzah belum dapat tarbiah daripada Hadi – Anwar

Hamzah belum dapat tarbiah daripada Hadi – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zanudin belum mendapat tarbiah daripada Presiden PAS.

Perdana Menteri menyatakan demikian bagi menjawab isu homoseksual dibangkitkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut semasa perbahasan semalam.

Anwar juga menyifatkan Hamzah melakukan serangan peribadi apabila “mencerca, memfitnah” dan melakukan konspirasi terhadapnya selama hampir 25 tahun.

“Saya takkan ulas perkara itu (lebih lanjut) kerana tentunya dia (Hamzah) belum mendapat tarbiah daripada Marang (Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang), yang pernah menulis tentang qazaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul untuk membenarkan perbelanjaaan dikeluarkan dari Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2023.

Semalam Hamzah memetik laporan didakwa dikeluarkan sebuah portal berita di Itali yang mengaitkan Anwar dengan kegiatan homoseksual.

Hamzah yang Setiausaha Agung Bersatu turut mendesak Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadap portal tersebut.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil malam tadi mendakwa kesahihan Agenzia Nova berkenaan diragui, malah seseorang yang telah menetap di Itali selama 33 tahun tidak pernah mendengar nama agensi berita tersebut.

Sebelum ini Abdul Hadi pernah menulis buku mengenai hukuman yang perlu dikenakan ke atas seseorang yang menuduh orang lain melakukan zina atau liwat.

Buku Qazaf Mangsa Fitnah itu dihasilkan Abdul Hadi tidak lama selepas Anwar didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan pada akhir 1990-an lalu.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi atas penghasilan buku itu, Anwar menitip berpesan kepada Hamzah agar mendalami kandungan buku tersebut.

“Saya syorkan buku itu juga dibaca oleh ketua pembangkang,” katanya. – Malaysiapost

Komen