Ismail Sabri ucap tahniah Kerajaan Perpaduan teruskan usaha kerajaan terdahulu

Ismail Sabri ucap tahniah Kerajaan Perpaduan teruskan usaha kerajaan terdahulu

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan usaha kerajaan terdahulu dalam membela nasib rakyat.

Perdana Menteri kesembilan itu berkata, inisiatif yang terkandung dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, sebahagian aspirasi diperjuangkan Kerajaan Keluarga Malaysia terdahulu.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan inisiatif-inisiatif Kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

“Inisiatif yang diluluskan itu sebahagian daripada aspirasi Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia dibentangkan pada 7 Oktober 2022 lalu, yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai tarif elektrik, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan terdahulu juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi.

Katanya, keputusan Kerajaan Keluarga Malaysia pada Jun lalu untuk tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion, dan memberikan subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah antara usaha bagi meringankan beban rakyat.

“Justeru, sekali lagi saya berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dan berharap nasib rakyat akan terus terbela,” katanya. – Malaysiapost

Komen