JAKIM siasat ajaran sesat Millah Abraham

JAKIM siasat ajaran sesat Millah Abraham

JABATAN Kemajuan Agama Islam (JAKIM) akan mengambil tindakan tegas dalam memerangi usaha menghidupkan semula ajaran sesat yang dikenali Millah Abraham.

Dalam kenyataan hari ini, JAKIM memaklumkan pihaknya mengambil serius berkenaan video tular yang mendakwa masih wujud ajaran sesat berkenaan ketika ini.

“JAKIM mengambil maklum berkaitan paparan video tular di media sosial tentang seorang lelaki yang meminta Jabatan Agama Islam untuk menyiasat ajaran Millah Abraham.

“JAKIM akan memohon kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri berkaitan untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang bersesuaian, selaras dengan keputusan hukum,” kata kenyataan itu.

Justeru, JAKIM menasihatkan masyarakat agar menjauhi ajaran Millah Abraham@Ibrahim dan dilarang berpegang serta beramal dengannya.

“Dimaklumkan, Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MUzakarah MKI) Kali Ke-109 yang bersidang pada 18-19 Oktober 2016 telah memutuskan pandangan hukum bahawa Ajaran Millah Abraham@ Ibrahim adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

“Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial apabila pelakon lelaki membuat pengakuan berani menerusi siaran langsung di Facebook miliknya, memberitahu dirinya salah seorang pengikut ajaran sesat, Millah Abraham.

Dalam video berkenaan, pelakon itu memberitahu dia sanggup memberi keterangan kepada badan kerajaan seperti pihak polis dan jabatan agama, malah turut mendakwa dia menyertai ajaran berkenaan kerana seorang wanita yang kemudiannya menjadi kekasihnya. – Malaysiapost

Komen