Jalan Batang Kali- Genting ditutup setahun

Jalan Batang Kali- Genting ditutup setahun

KERJA pembaikan cerun dan jalan di kawasan tanah runtuh di Batang Kali, Jumaat lalu, dijangka mengambil tempoh selama setahun sebelum Jalan Batang Kali- Genting, Hulu Selangor boleh dibuka semula bagi laluan orang ramai.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata sementara tempoh itu pengguna jalan raya diminta menggunakan laluan alternatif yang akan dikeluarkan bilik gerakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, KKR juga akan membuat kajian lebih mendalam di tapak tragedi berhubung pembinaan cerun selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) berakhir.

“Walaupun jalan itu ok, kita tidak berani buka sehingga cerun baharu dibuat yang akan mengambil tempoh kira-kira setahun,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali Jumaat lalu, mengorbankan 24 mangsa setakat ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Uzir berkata, pembinaan jalan di kawasan itu tidak menyebabkan berlaku runtuhan, sebaliknya insiden disebabkan faktor semula jadi kerana adanya aliran air bawah tanah.

Katanya lagi, ia juga tidak disebabkan pengairan secara haram dari tapak perkhemahan, namun pergerakan air yang tidak kelihatan dari mata kasar.

Beliau berkata, KKR mengenal pasti 1,045 cerun yang berada di sepanjang jalan Persekutuan di Semenanjung dalam kategori berisiko tinggi untuk runtuh.

“Tiada pembangunan dibenar dibangunkan di kawasan berisiko tinggi itu,” katanya. – Malaysiapost

Komen