Mangsa banjir kini lebih 65,000 orang

Mangsa banjir kini lebih 65,000 orang

JUMLAH keseluruhan mangsa banjir di lima negeri yang terjejas kini melebih 65,000 orang setakat jam 2 petang tadi membabitkan 17,774 keluarga.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), situasi semasa banjir negara menunjukkan peningkatan mangsa iaitu 65,139 mangsa berbanding 63,415 mangsa setakat jam 6 pagi tadi.

Menurut laporan itu, Terengganu merekodkan mangsa tertinggi iaitu seramai 38,806 mangsa daripada 10,629 keluarga di lapan daerah yang terjejas.

Kelantan mencatatkan seramai 25,353 mangsa daripada 6,897 keluarga di sembilan daerah yang terjejas.

Banjir di Johor pula dilaporkan di daerah Segamat yang membabitkan 53 mangsa daripada 17 keluarga, manakala di Pahang banjir melanda daerah Kuantan dan Raub menjejaskan 873 mangsa daripada 214 kelaurga.

Perak pula merekodkan seramai 54 mangsa daripada 17 keluarga membabitkan daerah Hilir Perak.

Menurut NADMA, jumlah kematian susulan banjir kekal lima mangsa setakat ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di daerah Pasir Mas dan tiga remaja perempuan di Tumpat, Kelantan, manakala seorang kanak-kanak perempuan di Besut, Terengganu. – Malaysiapost

Komen