Pembangkang sengaja mahu kelirukan rakyat – Khaled

Pembangkang sengaja mahu kelirukan rakyat – Khaled

PEMBANGKANG sengaja mahu mengelirukan rakyat dengan tidak meminta undi belah bahagian pada usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembangkang sebenarnya bimbang dan mengetahui akan mengalami kekalahan besar sekiranya mereka meminta undian belah bahagian dibuat.

“Mengapa tak minta belah bahagian, nampak sangat hendak mengelirukan rakyat.

“Sebenarnya kalau mereka minta belah bahagian, mereka akan kalah besar. Sebab itu mereka takut nak minta undi belah bahagian,” ciapnya dalam mesej Twitter, hari ini.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengumumkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan menerusi undian suara sekali gus mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, dalam sidang media selepas itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, keputusan pembangkang tidak meminta undi belah bahagian kerana berpendirian usul berkenaan tidak sewajarnya dibentangkan di Parlimen.

Jelasnya, ini kerana Anwar sudah pun diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin, sebelum ini mencabar Anwar membuktikan keabsahan sokongan ketika Anwar diumumkan menjadi Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Justeru, Anwar pada sidang media pertama selepas mengangkat sumpah Perdana Menteri ke-10 menyahut cabaran itu dan memutuskan untuk melakukan undi percaya terhadapnya pada 19 Disember. – Malaysiapost

Komen