Saya bukan Bebas, saya PAS, Perikatan Nasional – Shahidan

PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini ‘terganggu’ sedikit dengan gelagat lucu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak berpuas hati dengan kesilapan beberapa butiran mengenai dirinya.

Beliau membangkit perasaan ketidakpuasan hati kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengenai kesilapan yang tertera di skrin laptop disediakan pihak pengurusan Parlimen kepadanya.

Menurutnya, butiran tertera di skrin itu tidak selari dengan papan tanda nama dipamerkan di hadapan tempat duduknya.

“Datuk Speaker, saya nama Datuk Seri Shahidan Kassim, Yang Berhormat, tapi dia tulis kat situ Bebas Arau (sambil menunjukkan tangan ke arah laptop).

“Saya PAS daripada Perikatan Nasional. Lepas tu gambar saya tiada (di laptop) , di sini ada gambar (di papan tanda nama) , di sini gambar hantu, jadi tolonglah betulkan,” katanya sambil disambut gelak ketawa para Ahli Dewan Rakyat, hari ini.

Johari yang turut geli hati melihat gelagat Shahidan itu bagaimanapun memaklumkan akan mengambil tindakan segera terhadap kesilapan itu.

“Saya dengan ini mengarahkan setiausaha untuk mengambil tindakan serta-merta atas keresahan dan kekecewaan Arau itu. Terima kasih Arau,” katanya. – Malaysiapost

Komen