Saya tak pernah mohon pengampunan penuh – PM

Saya tak pernah mohon pengampunan penuh – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tidak pernah memohon pengampunan penuh yang diberikan kepadanya pada 2018.

Sebaliknya menurut Perdana Menteri, ia adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Perdana Menteri berkata, Sultan Muhammad V sendiri menelefon beliau yang sedang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi di Cheras berkaitan proses pengampunan penuh tersebut.

“Saya tidak memohon pengampunan kerana saya dihukum, ‘make it clear’ di hansard.

“Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum (ketika itu), mengada-adakan termasuk dalam kes pertama, membuat pertuduhan dan peristiwa yang berlaku di bangunan yang belum ada dan memaksa orang menjadi saksi atau mengambil siasatan sebelum laporan polis dibuat.

“Saya minta maaf sebut perkara ini kerana soal pengampunan itu penting. Yang mengambil insiatif ketika itu ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri ketika itu, baginda telefon saya dan ini saya sebut kepada umum, semasa saya masih di pusat rehabilitasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Isu pengampunan kepada Perdana Menteri pada 2018 itu dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam perbahasan usul undi percaya kepada Perdana Menteri semalam. – Malaysiapost

Komen