Tak rasional samakan MOA parti kerajaan dengan perjanjian PH-Ismail Sabri

Tak rasional samakan MOA parti kerajaan dengan perjanjian PH-Ismail Sabri

PADA 19 Disember 2022, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membuat kenyataan bahawa MOA yang memaksa ahli-ahli parlimen dari parti kerajaan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) adalah sama seperti perjanjian dahulu antara Pakatan Harapan (PH) dan bekas PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan bahawa Perikatan Nasional (PN) kononnya adalah hipokrit kerana mengkritik MOA tersebut.

Ini adalah spin politik murahan yang palsu dan bertujuan untuk memperdaya rakyat.
Pertamanya, dalam perjanjian Ismail Sabri-PH tidak wujud peruntukan yang memaksa ahli parlimen untuk menyokong PM atau usul-usul lain berkaitan keabsahan kerajaan, seperti yang terdapat dalam MOA haram tersebut.

Jika gagal menyokong, ahli parlimen parti kerajaan akan hilang kerusi parlimen menurut klausa 4 MOA tersebut. Tidak ada apa-apa peruntukkan seperti klausa 4 dalam perjanjian Ismail Sabri-PH, langsung tidak ada paksaan seperti itu.

Tidak rasional untuk menyamakan MOA haram ini dengan perjanijian Ismail Sabri-PH. Ini adalah propaganda yang tidak berasas dan terdesak dari Fahmi Fadzil.

Yang kedua, PN tidak pernah mempertikai hak parti-parti yang membentuk kerajaan untuk membuat apa-apa perjanjian antara mereka. Yang kami menolak adalah sebarang percubaan untuk membawa pemerintahan diktator dengan memaksa ahli parlimen dari parti kerajaan untuk menyokong usul-usul kerajaan di Dewan Rakyat. Di mana demokrasi negara apabila ada paksaan dan ugutan ke atas ahli-ahli Dewan Rakyat?

Fasal 49A Perlembagaan yang sering dipetik oleh PH untuk memutihkan MOA haram mereka, hanya berkaitan lompat parti. Ia bukan memaksa ahli parlimen menyokong kerajaan atau mana-mana usul. Ini jelas dari kandungan Fasal 49A yang mudah difahami.

Yang paling memalukan adalah bahawa ahli-ahli parlimen PH sekarang giat di dalam dan luar parlimen untuk membela MOA yang anti-demokratik dan kuku-besi ini. Ia sekali gus membuktikan bahawa retorik PH sekian lama mengenai demokrasi dan reformasi institusi adalah semuanya penipuan belaka.

MOA haram tersebut yang dirancang secara sinis oleh PH adalah serangan yang paling serius ke atas institusi parlimen sejak Merdeka.

Kami menyeru kesemua ahli Dewan Rakyat supaya berani dan bersatu dalam membela dan melindung institusi parlimen dan hak membahas dan mengundi setiap ahli parlimen.
.
Dato’ Cikgu Azman Ahli Parlimen Padang Serai Bersatu
(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

Komen