Usul undi percaya populis, kepentingan rakyat patut jadi keutamaan

Usul undi percaya populis, kepentingan rakyat patut jadi keutamaan

PELAKSANAAN usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam adalah bersifat populis dan remeh, serta membelakangkan keutamaan rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nazir Helmi berkata perbahasan usul yang mengambil masa sepanjang petang, memperlihatkan dangkalnya pihak kerajaan dalam meneliti setiap keperluan rakyat yang paling utama.

Apatah lagi, katanya, di saat negara sedang mengalami beberapa bencana buruk sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan jiwa.

Malah katanya, dianggarkan suasana bencana ini akan menjadi lebih parah berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Pada masa sama, Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda PAS dan PN, iaitu Ahli Parlimen Pasir Mas yang membahas undi percaya dengan memperingatkan Perdana Menteri untuk turun ke negeri-negeri yang mengalami bencana besar sejurus agenda beliau untuk mendapatkan ‘kepercayaan’ selesai.

“Ambillah apa jua kredit untuk mengabsahkan kedudukan beliau, tetapi sepatutnya isu rakyat usahlah diketepikan.

“Rakyat mengharapkan suatu usul segera dan bermanfaat untuk persediaan menghadapi banjir, sebagai contoh bantuan segera daripada pelbagai sudut keperluan yang diumumkan sendiri oleh pihak kerajaan di dalam Parlimen, agar sekurang-kurangnya rakyat dapat memberi nafas lega, bukan resah dengan ‘move’ populis demi kepentingan kedudukan dan jawatan,” katanya.

Nazir berkata, Pemuda PAS akan terus memberi komitmen untuk menggerakkan seluruh jentera kebajikan yang menjadi rutin utama melalui Jabatan AMAL Malaysia.

“Amaran keras kepada pihak kerajaan agar tidak terus menerus mentadbir kerajaan dengan minda pembangkang, kerana ia hanya memberi mudarat kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen