Wan Saiful mohon dana Bernas diberi kepada pesawah Tasek Gelugor

Wan Saiful mohon dana Bernas diberi kepada pesawah Tasek Gelugor

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan dana RM10 juta yang diberikan Bernas turut diberikan kepada pesawah di Tasek Gelugor yang memerlukan bantuan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu bagi membincangkan perkara berkenaan di Bangunan Parlimen, hari ini.

“Sebaik sahaja selesai sesi Dewan Rakyat, saya bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah YB Dato Seri Zahid Hamidi serta YB Mohamad Mohamad Sabu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Langkah segera diambil untuk membantu pesawah dalam Parlimen Tasek Gelugor yang mengalami kerugian akibat sawah tenggelam sepanjang musim hujan ini. Ramai yang memerlukan bantuan ganti rugi serta bantuan pembelian benih baru untuk tanam semula.

“Saya turut mencadangkan dana RM10 juta yang diberikan oleh BERNAS untuk tahun ini digunakan sebahagiannya untuk membantu pesawah di Tasek Gelugor yang perlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berharap permasalahan banjir yang sering melanda beberapa kawasan parlimennya itu dapat diberi perhatian oleh kerajaan.

“Langkah jangka panjang diambil untuk menyelesaikan masalah banjir di beberapa lokasi dalam Parlimen Tasek Gelugor. Ini memerlukan perparitan dan sistem saliran diperbaiki supaya masalah banjir tidak berterusan.

“Saya harap kerajaan akan memberi perhatian kepada permintaan saya untuk kebaikan warga Tasek Gelugor,” katanya. -Malaysiapost

Komen