Adakah Sultan Muhammad V langgar prinsip keadilan, soal Chegu Bard

Adakah Sultan Muhammad V langgar prinsip keadilan, soal Chegu Bard

BEBERAPA pertikaian dibangkitkan pemimpin Perikatan Nasional (BN) Johor, Badrul Hisham Shahrin, susulan pengakuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung beliau tidak pernah memohon pengampunan daripada Yang di Pertuan Agong.

Beliau yang juga dikenali dengan panggilan Chegu Bard, berkata jika benar dakwaan Perdana Menteri itu, kini timbul persoalan adakah Sultan Muhammad V yang menjadi Yang di Pertuan Agong ketika itu telah melanggar prinsip keadilan.

Menurutnya, Anwar yang juga Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memohon pengampunan Yang di Pertuan Agong pada tahun 2017.

“Kena ingat, pada Februari 2017, rayuan pengampunan Anwar ditolak oleh Majlis Pengampunan yang dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan rayuan kedua pengampunannya ditolak Majlis Pengampunan yang dipengerusi sendiri oleh Sultan Muhammad V.

“Jika benar Anwar kata YDPA ketika itu Sultan Muhammad menyebut pemenjaraan Anwar sebagai travesty of justice (pelanggaran prinsip keadilan) maka adakah Tuanku Sultan Muhammad V sifatkan keputusan Almarhum Sultan Abdul Halim yang tolak rayuan dan kekalkan pemenjaraan Anwar sebagai travesty of justice (pelanggaran prinsip keadilan)?

“Atau Tuanku Sultan Muhammad V nak cakap keputusan dia pada 2017 tolak rayuan pengampunan Anwar sebagai sebahagian travesty of justice (pelanggaran prinsip keadilan) juga?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam sidang Dewan Rakyat, semalam Anwar menyebut dengan jelas beliau tidak meminta pengampunan sebaliknya Agong telah menghubungi beliau sendiri dan bercakap dengannya ketika itu sebagai banduan untuk dimaklumkan beliau diampunkan.

Katanya, ia jelas prosedur salah.

“Jika ini dikatakan tidak salah maka jelas Malaysia mengiktiraf set undang undang berbeza. Untuk orang biasa kena ikut prosedur tetapi kalau VVIP ada laluan istimewa.

“Secara tidak langsung apa yang Anwar sebut semalam ialah Tuanku Sultan Muhammad V juga menyatakan sistem perundangan (mahkamah) negara gagal dan 10 hakim yang menghantar dan mengekalkan Anwar dipenjara telah langgar prinsip keadilan ?

“Apa yang Anwar sebut semalam tanpa hantar rayuan tapi YDPA sendiri telefon banduan dalam penjara untuk dibebaskan… ia jelas unconstitutional… adakah benar atau fitnah?,” katanya. – Malaysiapost

Komen