Akta Kerja 1995 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa 1 Januari 2023

Akta Kerja 1995 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa 1 Januari 2023

PENGUATKUASAAN pindaan Akta Kerja 1955 yang sebelum ini ditangguhkan, akan dilaksanakan 1 Januari tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata ia harus diteruskan kerana undang-undang itu sudah diluluskan Parlimen.

“Perkara ini harus kita teruskan sebab undang-undang ini sudahpun diluluskan Parlimen dan sebahagian besar pindaan yang dibuat adalah berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Jadi perkara ini adalah penting untuk kita laksanakan, ini adalah jaminan kepada pekerja,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelaksanaan akta itu perlu ditangguhkan hingga 1 Januari 2024 bagi memberi lebih masa kepada pihak industri dan majikan.

Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September lalu, namun ditangguhkan ke 1 Januari depan selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa berikutan kebanyakannya masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Selain itu, pindaan Akta Kerja 1955 ini juga mewajibkan keperluan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ( JTKSM) di bawah Seksyen 60K (4) Akta Kerja 1955.

Mengenai sistem pengambilan pekerja asing menggunakan One Channel System (OCS), Sivakumar berkata, OCS akan diletakkan bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Sama ada OCS bawah KSM mahupun Kementerian Dalam Negeri bukan isunya, apa yang penting adalah hasil akhirnya, sama ada kita dapat pekerja yang cukup atau tidak itu lebih penting,” katanya. – Malaysiapost

Komen