Anwar dedah Mercedes S600 ditempah ketika Muhyiddin PM

Anwar dedah Mercedes S600 ditempah ketika Muhyiddin PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kenderaan jenis Mercedes Benz S600 yang bernilai jutaan ringgit ditempah ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Beliau membangkitkan perkara itu pada persidangan Parlimen yang berlangsung semalam dan turut mengesahkan bahawa pengganti Muhyiddin, Datuk Seri Ismail Sabri tidak sempat meluluskan pembelian kereta berkenaan.

“Tentunya hal-hal yang lain yang dikatakan gimik dan sebagainya itu penting untuk memberikan petanda bahawa kita serius, termasuklah kereta yang dipesan oleh (Ahli Parlimen) Pagoh.

“Kita ada rekod…kemudian tidak diteruskan oleh (Ahli Parlimen) Bera kerana kesuntukan masa untuk pilihan raya, jadi saya runding untuk batalkan,” katanya ketika sidang Parlimen semalam.

Pada 28 November lalu, Anwar berkata beliau hanya akan menggunakan kenderaan sedia ada bagi urusan harian dan menolak daripada menggunakan kenderaan jenis Mercedes Benz S600 yang dibeli Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum dia memasuki pejabat.

Gambar sekadar hiasan

Anwar berkata keputusan tersebut diambil kerana tidak mahu sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atasnya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.

“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.- Malaysiapost

Komen