Bekalan elektrik di beberapa kawasan banjir di Terengganu dan Kelantan mula pulih

Bekalan elektrik di beberapa kawasan banjir di Terengganu dan Kelantan mula pulih

BEKALAN elektrik di beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan sudah mula disalurkan semula hari ini susulan air banjir sudah surut.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan setakat jam 10 pagi tadi, beberapa kawasan di Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Berang, Besut dan Al-Muktafi Billah Shah telah mula menerima bekalan elektrik.

Bekalan elektrik di Kelantan pula kembali pulih membabitkan beberapa kawasan di Kota Bharu.

Menurut TNB, bekalan elektrik di Terengganu yang belum pulih adalah membabitkan Kuala Terengganu (tiga kawasan), Setiu (satu kawasan), Kuala Berang (10 kawasan), Besut (19 kawasan), Al-Muktafi Billah Shah (23 kawasan) dan Dungun (enam kawasan).

Manakala kawasan di Kelantan yang masih belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB adalah di Kota Bharu (tiga kawasan), Pasir Mas (72 kawasan), Pasir Puteh (tiga kawasan) dan Kuala Krai (satu kawasan).

“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, besar kemungkinan pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan.

“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” menurut hantaran di laman Facebook TNB Careline, hari ini.

Sementara itu, TNB turut mengingatkan penduduk di kawasan banjir supaya mengelakkan dari memijak kawasan yang berair jika terdapat talian elektrik yang putus atau jatuh di atas tanah.

“Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus.

“Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” katanya. – Malaysiapost

Komen