Guna air banjir masak, bancuh susu anak

Guna air banjir masak, bancuh susu anak

SERAMAI 62 mangsa banjir yang berlindung di sebuah rumah di Kampung Tasek Bakong, di sini, terpaksa menggunakan air banjir untuk minum, masak dan membancuh susu anak berikutan terputus bekalan air bersih sejak dua hari lalu.

Walaupun menyedari air itu kotor, namun mereka terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup apabila kawasan berkenan ditenggelami banjir.

Muzipah Che Muda, 54, berkata selepas buntu memikirkan air minuman yang tidak kunjung tiba, mereka terpaksa mengambil keputusan menggunakan banjir sebagai sumber air yang kemudian direbus sebelum diminum.

Katanya, mereka sedar tindakan itu tidak begitu baik tetapi sudah tiada cara lain kerana ramai kanak-kanak sudah merengek kehausan, begitu juga orang dewasa yang sudah tidak minum sejak beberapa jam.

“Malah, air ini juga kami gunakan untuk memasak secara bergotong-royong. Besar harapan kami supaya ada pihak yang masuk untuk menghantar bantuan air bersih buat kami di sini.

“Kami tahu kawasan penempatan ini agak sukar diakses, oleh itu kami mencari ikhtiar lain terlebih dahulu dengan hanya tawakal sahaja semoga air yang diminum tidak memudaratkan.

“Semua mangsa berkumpul di rumah milik salah seorang penduduk yang tidak dimasuki air tetapi halamannya telah digenangi banjir separas 0.5 meter,” katanya dipetik Berita Harian.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Yatin Mat Yaacob, 46, berkata kesemua mangsa terpaksa tidur berhimpit manakala sesetengah kumpulan lelaki tidur di dalam kereta kerana tidak cukup ruang di dalam satu rumah.

“Kami tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sudah terlalu ramai dan penuh. Tambahan pula, hanya rumah ini yang tidak dimasuki air di sini.

“Ada antara mangsa yang kediaman mereka hanya tinggal bumbung sahaja, namun kami reda dengan ujian ini dan bersyukur kerana masih ada tempat berteduh,” katanya.

Menurutnya, mereka juga mengambil inisiatif menggunakan generator bagi mendapatkan bekalan elektrik terutama untuk mengecas telefon bimbit kerana elektrik sudah ditutup sejak banjir melanda. – Malaysiapost

foto kredit BuletinTV3

Komen