Guna jadual dicadangkan PLUS sempena cuti Krismas, Tahun Baru 2023

Guna jadual dicadangkan PLUS sempena cuti Krismas, Tahun Baru 2023

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan orang ramai yang ingin menggunakan Lebuhraya PLUS sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baru 2023 agar mengikut Jadual Cadangan Waktu yang diberikan.

Pelanggan dinasihatkan untuk mengikut jadual berkenaan yang bermula 23 Disember ini hingga 2 Januari 2023.

Menurut PLUS, jadual berkenaan dikeluarkan berdasarkan data trafik sebagai panduan serta membantu pengguna lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan yang lebih terurus dalam tempoh perayaan akan datang.

“Ia bermatlamat untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan terkumpul serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

“Pelanggan lebuh raya turut disarankan menggunakan aplikasi yang lain seperti Waze dan Google Maps ketika perjalanan,” menurut PLUS dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

PLUS turut menasihatkan pengguna supaya masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan mod pembayaran yang sama dan menghubungi talian PLUSLine 1800-88-0000, jika berlaku kecemasan dan mahu mendapatkan bantuan di lebuh raya. – Malaysiapost

Komen