Jabatan Pertanian tidak terbabit urusan permit tapak perkhemahan

Jabatan Pertanian tidak terbabit urusan permit tapak perkhemahan

JABATAN Pertanian Malaysia (DOA) menegaskan pihaknya tidak terbabit langsung berkaitan kelulusan permit tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali seperti didakwa.

DOA dalam kenyataan menafikan dakwaan itu dan memaklumkan peranannya hanya memberi khidmat nasihat berkaitan proses dan kaedah untuk mendapatkan pensijilan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) serta lawatan berkaitan proses pensijilan sahaja.

“DOA tidak pernah memberi ulasan atau berbincang dengan pengusaha Father’s Organic Farm berkaitan permit tapak perkhemahan kerana perkara itu adalah di luar bidang kuasa mereka.

“Selain itu, DOA tidak mempunyai kuasa untuk memberi permit, lesen atau khidmat nasihat kepada mana-mana pengusaha yang menyediakan tapak perkhemahan,” menurut kenyataan itu.

Menurut DOA, agensi itu hanya berfungsi untuk memberikan khidmat pengembangan pertanian dalam pengeluaran bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.

Sebelum ini, pengendali tapak perkhemahan, Frankie Tan dilaporkan berkata, pihaknya tidak dapat membuat permohonan mendapatkan lesen tapak perkhemahan kerana permit seperti itu tidak wujud.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pelbagai agensi kerajaan, termasuk Jabatan Pertanian bahawa tiada lesen seumpama itu boleh dipohon oleh pengusaha tapak perkhemahan.

Pada 16 Disember lalu, berlaku insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan itu yang mengorbankan 26 nyawa setakat ini, manakala tujuh lagi mangsa masih hilang. – Malaysiapost

Komen