JKN Pahang sedia khidmat sokongan mental di PPS

JKN Pahang sedia khidmat sokongan mental di PPS

Ben Ibrahim

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menyediakan 95 pasukan sokongan kesihatan mental (MHPSS) bagi menangani isu kesihatan mental di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Dr Noor Azimi Yunus, berkata pasukan itu sudah memberikan sokongan psikososial kepada 356 penduduk terjejas banjir dan 29 petugas barisan hadapan sehingga semalam.

“Antara aktiviti psikososial diberikan oleh pasukan itu adalah relaksasi, terapi seni dan psiko pendidikan.

“Bagi pemantauan kesihatan penduduk ditempatkan di PPS pula, JKN Pahang menyediakan 67 pasukan yang ditugaskan untuk tujuan pencegahan, pemantauan persekitaran dan kawalan penyakit,” katanya dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, dekat Kuantan, hari ini.

SK Cherating adalah antara tiga PPS yang masih beroperasi di daerah Kuantan sejak Ahad lalu.

Seramai 138 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Noor Azimi berkata, semua fasiliti kesihatan di Pahang masih beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas dengan banjir setakat ini.

“Walaupun begitu, persediaan awal dan kesiapsiagaan sudah dilakukan dengan memastikan aset, peralatan dan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan berisiko banjir dipindahkan ke lokasi lebih selamat,” katanya lagi.

Beliau turut mengesahkan belum ada kes positif Covid-19 direkodkan di PPS yang beroperasi di Pahang.

Katanya, sehingga semalam JKN Pahang sudah melakukan saringan Covid-19 terhadap 1,014 mangsa banjir dan tidak ada kes positif dikesan.

“Kita menasihatkan orang ramai, terutamanya mereka yang berada di PPS untuk mengambil air minuman dan makanan yang bersih bagi mengelak penyakit bawaan air dan keracunan makanan,” katanya. – Malaysiapost

Komen