Kerajaan beri RM100 juta bantu mangsa banjir Kelantan, Terengganu

Kerajaan beri RM100 juta bantu mangsa banjir Kelantan, Terengganu

KERAJAAN mengumumkan bantuan segera berjumlah RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu susulan banjir yang melanda negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu masing-masing RM50 juta bagi membantu mangsa terjejas banjir di kedua-dua negeri itu.

“Memandangkan banjir lebih parah dari biasa, saya bersetuju selepas mengadakan perbincangan dengan Jemaah Menteri untuk meluluskan bantuan segera RM50 juta bagi Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zainin Husin.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir. foto kredit: BERNAMA

Dalam pada itu, Anwar berkata, sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada setiap setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke PPS.

“RM10,000 kepada keluarga yang kematian ahli akibat banjir dan bayaran diberikan kepada KIR,” katanya.

Menurutnya, mangsa banjir berkenaan perlu mendaftar di PPS dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menguruskan perkara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan akan mempercepatkan projek tebatan banjir Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kelantan yang mampu mengurangkan bencana banjir.

Katanya, ia akan dibuat secara rundingan terhad yang mampu mempercepatkan projek berkenaan tanpa kos berlebihan.

“Saya memberi jaminan projek tebatan banjir bagi Fasa 1 dan 2 di Kelantan akan dipercepatkan namun tidak akan dibuat secara rundingan biasa atau rundingan terus.

“Berdasarkan pengalaman saya, projek rundingan terus akan membabitkan kos meningkat, jadi lebih baik melalui rundingan terhad sekiranya mahu percepatkan projek berkenaan.

“Justeru, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menghantar segera laporan berhubung PLSB kepada Kementerian Kewangan. Saya beri jaminan akan percepat kelulusan sebaik laporan dihantar,” katanya. – Malaysiapost

Komen