Kerajaan tanggung hutang negara cecah RM1.078 trilion – Ahmad Maslan

Kerajaan tanggung hutang negara cecah RM1.078 trilion – Ahmad Maslan

KERAJAAN Perpaduan sedang menanggung hutang negara mencecah RM1.078 trilion dengan merekodkan defisit 5.8 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keadaan itu menunjukkan jumlah perbelanjaan kerajaan masih melebihi pendapatan yang diperoleh ketika ini.

Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai sekitar 6.5 peratus hingga 7 peratus pada tahun hadapan, walaupun kadar pengangguran belia mencatatkan sekitar 10 peratus berbanding 3.6 peratus kadar pengangguran keseluruhan yang dicatatkan pada Oktober 2022.

Jelasnya, sejumlah besar hutang yang ditanggung ketika ini adalah daripada institusi dalam negara dan hanya berhutang tiga peratus dengan institusi di luar negara.

Katanya, defisit yang dicatatkan adalah kerana bantuan yang disalurkan kepada rakyat seperti subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM18.6 bilion, RM500 juta untuk minyak masak selain bantuan wang tunai kepada rakyat.

“Kita berhutang bukan dari luar negara tapi daripada institusi negara. Dari luar negara hanya sekitar tiga peratus daripada keseluruhan hutang. Jadi, turun naik ringgit tidak akan beri kesan kepada hutang kerana kita hanya ada sedikit hutang dari luar negara iaitu tiga peratus daripada RM1.078 trilion.

“Kita berada dalam era paling sukar dan tak pernah berlaku dalam sejarah dunia dan negara kita sendiri berdepan Covid-19 jadi kita mencari formula dan wang… takkan kita nak kenakan cukai baharu ketika rakyat susah,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Negara, hari ini.

Justeru, Ahmad berkata, kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan kadar paras hutang daripada 55 peratus kepada 60 peratus dan kini 65 peratus.

“Dari mana lagi sumber untuk kita cari kewangan negara selain daripada menaikkan paras hutang. Kenaikan lima peratus itu boleh dapat sekitar RM80 ke RM90 bilion tambahan wang kepada negara,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan terus berusaha untuk mengurangkan defisit 5.8 peratus yang dicatatkan ketika ini.

“Saya pernah tanya gabenor Bank Negara bersama Menteri Kewangan pada taklimat hari Khamis minggu lepas, berapa peratus defisit yang ideal? Sebelum gabenor jawab, Menteri Kewangan menjawab tidak ada yang ideal dalam defisit, tidak pernah.

“Jadi, kita akan terus mencari kaedah terbaik bagaimana cara mengatasi hutang defisit 5.8 peratus tahun depan boleh dikurangkan sedikit tetapi usaha kita adalah cari kaedah terbaik untuk mendapatkan pendapatan negara tanpa terlalu menyukarkan kehidupan rakyat, itu antara tugas penting Kementerian Kewangan,” katanya. – Malaysiapost

Komen