Lantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan

Lantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan

PELANTIKAN semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lalu, ditangguhkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelantikan semula itu sememangnya sudah dimaklumkan sebelum ini, namun wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Saya tidak pernah menyatakan tidak boleh mana-mana pihak yang terlibat politik itu menjadi pengurusan tetapi mesti terikat dengan syarat-syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Anwari berkata, ada kemungkinan untuk beberapa tokoh atau Ahli Parlimen yang ditugaskan kepada badan berkanun atau GLC, namun kerajaan juga menetapkan kaedah berkaitan tahap keupayaan serta profesional, prestasi sebelumnya, pematuhan kepada peraturan, dan tata kelola yang ditetapkan.

Beliau berkata, keputusan untuk menghentikan lantikan politik yang dibuat pentadbiran sebelum ini bertujuan memberi ruang kepada Kerajaan Persekutuan menilai prestasi pihak berkenaan.

Katanya, ia supaya setiap individu yang dilantik berkenaan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Saya menangguhkan hal ini kerana ada isu contohnya syarikat kerajaan, syarikat induk menghadapi masalah kewangan tetapi syarikat kecil (mendapat) keuntungan besar dan beri bonus.

“Hal-hal ini kita harus cerakin dalam peraturan dan garis panduan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra, selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan. – Malaysiapost

Komen