Mangsa tanah runtuh Batang Kali ke-25 ditemui

Mangsa tanah runtuh Batang Kali ke-25 ditemui

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali menemui mangsa ke-25 malam tadi membabitkan mayat seorang kanak-kanak perempuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memaklumkan setakat jam 11.20 malam tadi lapan lagi mangsa masih belum ditemui.

“Maklumat dikemaskini setakat jam 11.20 malam, sejumlah 94 orang mangsa yang berada di tapak perkhemahan tersebut terlibat dengan kejadian runtuhan yang berlaku.

“Seramai 61 orang dalam keadaan selamat dan cedera. Manakala 25 orang meninggal dunia iaitu lima kanak-kanak (lelaki), tiga kanak-kanak (perempuan), 13 dewasa (wanita) dan empat dewasa (lelaki).

“Pencarian masih berjalan atas pencarian lapan mangsa yang tidak ditemui lagi,” menurut hantaran itu.

Menurut JBPM Selangor, pasukan SAR berjaya menemui mangsa yang ke 25 itu di sektor C kawasan pencarian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Sementara itu operasi SAR ditangguhkan pada 12 tengah malam tadi dan bersambung semula jam 8 pagi ini. – Malaysiapost

Komen