Pahang hantar bantuan banjir ke Terengganu

Pahang hantar bantuan banjir ke Terengganu

Ben Ibrahim

KERAJAAN Pahang menghantar bantuan pelbagai barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM150,000 bagi meringankan bebanan mangsa banjir di Terengganu, hari ini.

Misi bantuan itu dilancarkan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan.

Penghantaran fasa pertama itu sudah diluluskan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini.

Syed Ibrahim berkata, misi bantuan pasca banjir bagi membantu membersihkan kediaman penduduk akan dilakukan selepas keadaan banjir sudah pulih.

“Untuk membersihkan rumah penduduk kita akan lakukan kemudian, buat masa ini kita hantar dulu bantuan seperti toto, selimut dan lain-lain untuk mereka,” katanya selepas pelepasan konvoi misi bantuan banjir itu.

Sementara itu, Sabariah memaklumkan seramai 15 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang bersama pasukan sukarelawan terbabit dalam misi itu.

Penghantaran untuk peringkat pertama membabitkan 1,000 unit kit bencana, toto, tikar, selimut, kain batik dan kain pelikat, lampin pakai buang dan peralatan kebersihan diri.

“Semua barangan ini akan dihantar ke Kemaman, Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu akan menguruskan pengagihan kepada penduduk terjejas banjir di negeri itu,” katanya.

Beliau turut berkata, bantuan banjir juga akan disalurkan ke negeri lain bergantung kepada keperluan dan kelulusan kerajaan Pahang. – Malaysiapost

Komen