PM jangan gunakan undang-undang secara terpilih tutup mulut pengkritik – Wan Saiful

PM jangan gunakan undang-undang secara terpilih tutup mulut pengkritik – Wan Saiful

DATUK Seri Anwar Ibrahim diingatkan tidak menggunakan undang-undang secara terpilih untuk mengugut dan melenyapkan semua kritikan terhadapnya.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar seharusnya berani dan bersedia menjelaskan persoalan-persoalan yang ditimbulkan.

“Dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri, Anwar seharusnya berani dan bersedia menjelaskan persoalan-persoalan yang ditimbulkan bukan mengugut tindakan guaman bagi melenyapkan semua kritikan.

“Kenapa sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar sangat nipis telinga dan tak boleh terima kritikan? .

“Adakah Anwar mahu menjadi diktator yang tidak boleh dipersoal?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan mahkamah Anwar terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah tersebar kepada media sebelum ia diserahkan kepada peguam Muhyiddin.

Menurut Wan Saiful, Anwar juga telah mengugut tindakan sama terhadap Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Perdana Menteri seharusnya mengambil tindakan guaman serupa kepada mereka yang memburukkan beliau, bukannya secara terpilih.

Beliau turut memberi contoh kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam, yang mengeluarkan kenyataan memburukkan Anwar ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Saya harap Anwar akan bertegas mengambil tindakan guaman serupa kepada yang lain-lain juga.

“Dengan berbuat demikian barulah Anwar boleh dilihat serius mempertahankan nama baiknya dan institusi Perdana Menteri, bukan berterusan mempergunakan sistem perundangan secara selektif untuk bermain politik atau mengugut pengkritik,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilaporkan memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan beliau menerima RM15 juta daripada kerajaan Selangor semasa berkhidmat sebagai penasihat ekonomi negeri itu.

Saman fitnah difailkan peguam cara SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak Perdana Menteri bagi menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan daripada Muhyiddin, yang dinamakan sebagai defendan.

Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang Muhyiddin daripada terus menyebut, menulis, menerbit atau mengedar kata-kata fitnah yang disangkal, atau kata-kata yang mempunyai kesan sama atau serupa. – Malaysiapost

Komen