Polis lakukan padanan mangsa hilang dengan laporan waris

Polis lakukan padanan mangsa hilang dengan laporan waris

POLIS sedang melakukan pemadanan identiti mangsa hilang menerusi laporan waris keluarga tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya yakin akan ada waris yang tampil membuat laporan bagi memaklumkan kehilangan keluarga mereka selepas kejadian berlaku pada 16 Disember lalu.

“Melalui laporan polis oleh keluarga waris maka pemadanan boleh dilakukan bagi meneruskan usaha mencari baki mangsa yang masih hilang.

“Buat masa ini, kita (polis) masih menunggu dan selepas menerima laporan untuk dipadankan sekali gus membolehkan angka sebenar dikenal pasti yang kita percaya masih lagi hilang,” katanya pada majlis pelancaran Misi Bantuan Banjir Kementerian Dalam Negeri ke Pantai Timur, di Putrajaya, hari ini.

Menyentuh mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR), Acryl Sani berkata pihaknya dimaklumkan pasukan bomba ada mengesan beberapa lokasi yang dikenal pasti, tetapi ia masih belum dimuktamadkan lagi.

“Pagi ini usaha diteruskan untuk kenal pasti bilangan mangsa yang hilang dan usaha membawa mereka keluar dari tempat kejadian akan dilakukan segera,” katanya.

Malam tadi, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor mengesahkan penemuan mangsa ke-25, melibatkan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada jam 11.20 malam.

Setakat ini, 61 disahkan selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

Berdasarkan data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terbabit dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak. – Malaysiapost

Komen