Rafizi diarah jawab saman fitnah projek tebatan banjir

Rafizi diarah jawab saman fitnah projek tebatan banjir

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli menjawab saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kelulusan projek tebatan banjir.

Menurut Berita Harian, kes saman itu berhubung kenyataan Mohd Rafizi yang mendakwa Tuan Ibrahim ada berunding dan berbincang bagi meluluskan projek bernilai RM2 bilion kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus bagi kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat dalam tempoh kerajaan sementara.

Dalam prosiding kes saman itu yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Timbalan Pendaftar IdaMasliza Maarof mengarahkan Mohd Rafizi memfailkan pernyataan pembelaannya untuk menjawab saman itu sebelum 28 Disember ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim pula dikehendaki menjawab pembelaan Mohd Rafizi sebelum 11 Januari tahun depan.

Idamasliza juga mengarahkan apa-apa permohonan interlokutori yang hendak difailkan oleh kedua-dua belah pihak hendaklah dibuat sebelum tarikh pengurusan kes akan datang yang ditetapkan mahkamah pada 25 Januari tahun hadapan.

Perkara itu dinyatakan peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Tuan Ibrahim.

Dalam pernyataan tuntutannya, Tuan Ibrahim mendakwa Mohd Rafizi (defendan) mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dan ia turut disiarkan secara langsung di YouTube defendan, pada 7 dan 9 November lalu.

Timbalan Presiden PAS itu turut mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud beliau meluluskan dua projek loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan di Papan, Daerah Kinta dan satu projek pembinaan rangkaian paip pembetungan di kawasan Petaling Jaya kepada Mangkubumi kesemuanya berjumlah lebih RM2.3 bilion.

Selain itu, Tuan Ibrahim mendakwa, kenyataan itu bermaksud beliau berkomplot dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu dalam penganugerahan projek di bawah Program Jana Wibawa secara rahsia.

Tuan Ibrahim menegaskan, ia adalah suatu pembohongan, tohmahan jahat dan penyelewengan direka-reka berdasarkan kepada versi fakta yang diputar belit untuk memberi gambaran bahawa beliau secara tidak jujur melangkaui kuasa selaku menteri dalam kerajaan sementara dan seorang yang tidak amanah.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memohon Mohd Rafizi memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 14 daripada tarikh penghakiman selain menarik balik atau memadam keseluruhan kenyataan media di laman sosial sama dalam tempoh 48 jam dari tarikh penghakiman.

Beliau juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Mohd Rafizi daripada menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan dan video serupa secara langsung atau tidak langsung selain menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan. – Malaysiapost

Komen