Tidak mengundi kerana haji dan umrah dibimbangi telah lakukan dosa besar – Abdul Hadi

Tidak mengundi kerana haji dan umrah dibimbangi telah lakukan dosa besar – Abdul Hadi

RAKYAT Malaysia yang beragama Islam dan layak mengundi, namun tidak menunaikannya walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah dibimbangi telah melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh dikerah untuk mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air dengan menyokong DAP dan kumpulannya, walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri.

Beliau berkata, malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah.

“Malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya.

“Keadaan ini dibimbangkan mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT,” katanya dalam satu surat terbuka kepada jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi yang disampaikan dalam Minda Presiden PAS, di Facebook.

Menurutnya, penulisan itu ditujukan kepada mereka yang tidak mengundi, khususnya kerana melaksanakan haji dan umrah, termasuk juga para peniaganya.

Beliau berkata, jika tugas mengundi sebagai salah satu cara damai pun tidak ditunaikan kewajipannya bagi memenangkan dan mempertahankan Islam serta bukannya terpaksa berperang, maka akibatnya adalah lebih besar dan lebih parah.

Abdul Hadi bagaimanapun memuji golongan anak muda yang ramai menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya yang lalu.

“Syabas! Kepada anak muda yang tampil ke hadapan walaupun ada yang jahil agama, masih mentah umurnya, namun mereka mendapat hidayah Allah SWT, matang akalnya, sayangkan agama dan bangsa.

“Apalah guna Iblis dan Ahli Kitab yang banyak ibadatnya dan alim, tetapi tidak mendapat hidayah Allah SWT. Abu Lahab dan Abu Jahal yang lahir di Makkah, banyak khidmatnya kepada jemaah haji dan umrah juga tidak mendapat hidayah-Nya,” katanya.

Menurutnya, Islam dilaksanakan kewajipannya secara fiqh (kefahaman yang betul) pada tiap-tiap rukun, cabang hukum dan amalannya, termasuk cara pelaksanaannya yang mengikut Fiqh al-Aulawiyyat (mendahulukan keutamaan).

“Perkara ini sangat penting supaya ketinggian dan kemurnian Islam wajib dipelihara dengan baik, adapun pelaksanaannya pula dilakukan dengan istiqamah dan teratur tanpa terpesong ke kiri mahupun ke kanan.

“Rasulullah SAW dan para sahabat generasi awal merupakan teladan yang wajib diikuti, khususnya dalam melaksanakan petunjuk al-Quran secara amali dengan betul, berilmu dan penuh kefahaman. Antaranya, mendahulukan asas yang memelihara agama yang mulia wajib dipertahankan lebih dahulu berbanding perkara yang lain.

“Apabila Islam dalam keadaan bahaya, maka hukum jihad yang asalnya fardu kifayah bertukar menjadi fardu ‘ain dan hendaklah diutamakan. Sehinggakan, para huffaz (penghafaz al-Quran) dalam kalangan para sahabat ramai yang gugur syahid, apabila berlaku peristiwa riddah (murtad) yang mengepung Islam ketika wafatnya Rasulullah SAW,” katanya.

Justeru, beliau berkata perjuangan mengembalikan semula kuasa Islam wajib diutamakan.

“Pendekatan damai melalui konsep demokrasi wajib diambil peluang oleh umat Islam secara fardhu ‘ain ke atas tiap-tiap orang Islam dalam hukum jihad menegakkan Islam di tempat masing-masing.

“Hal ini demikian kerana, pilihan raya dan mengundi merupakan jalan bagi mendapatkan kuasa pemerintahan semula kepada Islam, maka ia menjadi wajib hukumnya,” katanya. – Malaysiapost

Komen