Wan Azizah ziarah keluarga 3 beradik maut renjatan elektrik

Wan Azizah ziarah keluarga 3 beradik maut renjatan elektrik

ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menziarahi keluarga tiga beradik yang terkorban akibat renjatan elektrik ketika banjir, di Kampung Bendang Surau.

Dr Wan Azizah tiba pada pukul 6.30 petang tadi dan meluangkan masa selama kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar keluarga tiga beradik berkenaan.

Beliau meluahkan rasa simpati atas pemergian tiga beradik itu dan menyifatkan keluarga terutama ibu bapa mangsa sangat kuat berdepan dengan ujian.

“Ketiga-tiga mangsa dikategorikan sebagai mangsa banjir dan layak diberikan pampasan yang mungkin dapat meringankan beban.

“Mereka sekeluarga kuat menghadapi kehilangan ini. Kita harapkan pihak berwajib dapat menitikberatkan prasarana dan persekitaran iaitu aspek keselamatan dalam apa situasi.

“Kejadian seumpama ini diharap tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid dan Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah.

Sementara itu, bapa tiga beradik itu, Mohd Nadzir Mohamed, 67, meluahkan rasa terima kasih dan syukur atas kunjungan pelbagai pihak, termasuk Dr Wan Azizah.

“Terima kasih kepada semua yang hadir menziarah dan turut mendoakan yang baik-baik buat tiga anak perempuan saya, sama ada yang mengenali atau tidak.

“Terdetik dalam hati di sebalik ujian ini ada rahmat yang tidak terduga,” katanya.

Dalam kejadian pagi Isnin lalu, Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33 serta dua adiknya, Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27, maut akibat terkena renjatan elektrik selepas terpegang sebatang tiang yang membawa arus elektrik di rumah jirannya. – Malaysiapost

Komen