2 warga emas maut, ATV masuk parit

2 warga emas maut, ATV masuk parit

DUA warga emas maut selepas kenderaan jenis All Terrain Vehicle (ATV) yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit berhampiran Jalan Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas, malam tadi.

Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Pegawai Bomba Kanan Dua Hairon Nizam Zainal, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 7 malam.

Katanya, kedua-dua mangsa lelaki yang berumur lingkungan 60-an, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai lemas.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah ATV yang terbabas ke dalam parit berhampiran.

“Dua mangsa iaitu penunggang dan pembonceng kenderaan terbabit dikesan dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai lemas.

“Mangsa diberikan rawatan awal namun tiada tindak balas,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

Foto Kredit Bomba

Komen