Agong, Permaisuri berkenan lawat pesakit kanser kanak-kanak

Agong, Permaisuri berkenan lawat pesakit kanser kanak-kanak

HASRAT pesakit kanser leukemia, Mya Zara Damia Faizal, untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, akhirnya tercapai.

Seri Paduka Baginda berdua berkenan melawat Mya Zara Damia di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Cheras, hari ini.

Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook, memaklumkan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bagi menunaikan impian adik Mya Zara Damia bertemu Seri Paduka Baginda berdua sejak dari kecil.

Lawatan itu adalah usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Make-A-Wish Malaysia.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 11 pagi disambut Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abdul Razak; Naib Canselor UKM Prof Datuk Ts Gs Dr Ekhwan Toriman dan barisan kepimpinan tertinggi UKM.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar Mya Zara Damia menjaga permakanan, berehat dengan sebaiknya selain mendoakannya sembuh seperti sedia kala supaya boleh kembali bersekolah untuk berjumpa rakan-rakan.

Manakala, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pula bertitah menzahirkan hasrat untuk menunaikan impian Mya Zara Damia merasai masakan daripada air tangan Baginda sendiri.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga adik Mya Zara Damia bagi meringankan beban yang ditanggung.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa lebih sejam melawat 25 lagi pesakit kanser kanak-kanak di Wad Hematologi-Onkologi, selain berkenan beramah mesra bersama petugas HPKK dan waris pesakit di hospital itu. – Malaysiapost

Komen