Bomba Pahang sedia bantu bersih rumah penduduk

Bomba Pahang sedia bantu bersih rumah penduduk

Ben Ibrahim

SEMUA mangsa banjir di Pahang boleh memaklumkan kepada balai bomba berhampiran jika memerlukan bantuan untuk membersihkan kediaman mereka.

Pengarah Bomba Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, arahan berkaitan perkara itu sudah dikeluarkan kepada semua ketua balai bomba di negeri itu.

“Jika ada penduduk yang memerlukan bantuan pasca banjir untuk membersihkan rumah mereka, boleh memaklumkan kepada balai (bomba) berhampiran.

“Oleh kerana banjir di Pahang kali ini tidak (berlaku) secara menyeluruh, jadi saya maklumkan kepada mereka (pegawai dan anggota bomba) untuk membantu jika kawasan terbabit sudah tidak lagi berisiko berlaku banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Sungai Ular, dekat Kuantan, hari ini.

Bantuan itu adalah sumbangan syarikat swasta dan syarikat berkenaan meminta Bomba Pahang mengagihkan kepada penduduk terjejas teruk akibat banjir di Pahang.

Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, bomba Pahang tidak menghantar pegawai dan anggota ke negeri jiran bagi membantu operasi memindahkan mangsa banjir.

Ini kerana katanya, semua pegawai dan anggota bomba Pahang masih dalam keadaan berjaga-jaga dan memberi tumpuan kepada persiapan banjir di Pahang.

“Buat masa ini kita (bomba Pahang) tidak hantar pegawai dan anggota ke Terengganu dan Kelantan sebab kita pun masih dalam keadaan bersiap siaga dengan kemungkinan banjir di Pahang.

“Kalau kita hantar mereka ke sana sekarang dan tiba-tiba berlaku banjir di Pahang, sudah tentu sukar kita nak atur pergerakan mereka untuk balik ke Pahang.

“Namun untuk tugasan (bantuan) pasca banjir, kita tetap bantu terutamanya dalam operasi membersihkan kediaman penduduk di negeri terbabit,” katanya. – Malaysiapost

Komen