Dividen ASB 4.6 sen, bonus tambahan 0.5 sen

Dividen ASB 4.6 sen, bonus tambahan 0.5 sen

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu juga mengumumkan bonus tambahan 0.5 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

Pada 2021, pengagihan pendapatan ASB adalah 5.0 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB.

“Walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, kami telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk bonus tambahan pada tahun ini.

“Jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB. Bonus Tambahan tersebut adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup.”

“Ketegangan geopolitik, inflasi, kenaikan kadar faedah dan dasar Sifar-Covid di China telah membawa kepada peningkatan ketidaktentuan pasaran.

“Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, berbanding suku kedua 2022 pada 8.9 peratus dan suku pertama 2022 pada 5 peratus.

“Namun, pasaran modal turut terjejas akibat trend makro global, iaitu –inflasi, kadar faedah tinggi, gangguan rantaian bekalan dan pengukuhan mata wang Dollar Amerika. Sehingga kini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FBM telah menurun sebanyak 6.7 peratus setakat 21 Disember 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, tahun ini, syarikat-syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan, didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.

“ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan pegangan tunainya.

“ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank. Jumlah bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.6 juta akaun, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 4.6 bilion atau 2.53 peratus kepada 186.4 bilion unit.

“Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai satu instrumen simpanan dan pelaburan yang penting kepada Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

“ASB terus memberikan pulangan mengatasi penanda arasnya, hasil daripada strategi perumpukan aset dan kepelbagaian yang telah kami laksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kami berbesar hati melihat peningkatan berterusan rakyat Malaysia yang melabur dengan kami, serta peningkatan saiz pelaburan mereka.

“ASB kekal sebagai komponen asas dalam perancangan kewangan pemegang unit kami,” katanya. – Malaysiapost

Komen