Fokus bantu pasca banjir daripada saling pertikaikan usaha pihak lain – Pemuda Umno 

Fokus bantu pasca banjir daripada saling pertikaikan usaha pihak lain – Pemuda Umno 

PENGGEMBLENGAN usaha dan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik mahupun orang perseorangan penting bagi membantu mangsa banjir.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata daripada saling mempertikai usaha membantu sesama sendiri, adalah lebih mustahak bekerjasama dan muafakat dalam membantu usaha pasca banjir.

“Ini adalah sebahagian gambaran pasca banjir. Keadaan seperti ini lebih terseksa buat mangsa kerana jika di PPS (Pusat Pemindahan Sementara), segalanya tersedia dan dibantu kerajaan seperti makanan siap masak, kelengkapan tidur, dan bantuan asas yang lain. 

“Namun apabila air mula surut, mangsa-mangsa banjir akan berhadapan dengan kesukaran besar dalam pelbagai aspek termasuk makan-minum seharian, 

“…tempat menginap dan juga kudrat untuk membersih kediaman yang rosak teruk (belum lagi membicarakan mereka yang mengalami kemusnahan hampir 100 peratus),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu juga beliau memuat naik beberapa gambar situasi pasca banjir yang terpaksa dihadapi mangsa selepas air mulai surut.

Asyraf Wajdi berkata, berdasarkan situasi banjir sebelum ini, tiada pihak yang menunjukkan usaha membantu secara keseluruhan masalah pasca banjir.

“Percayalah, pengalaman yang lalu menunjukkan tiada satu pihak pun yang mampu membantu dan bekerja secara ‘silo’ untuk menyelesaikan masalah pasca banjir yang membelenggui mangsa,” katanya.

Setakat pagi ini, seramai 64,598 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang melanda lima negeri.

Angka terkini membabitkan 18,601 keluarga itu direkodkan sehingga jam 6 pagi ini, dengan semua mangsa kini ditempatkan di 368 PPS yang dibuka. – Malaysiapost

Komen