Henti anjur majlis besar-besaran – PM

Henti anjur majlis besar-besaran – PM

AGENSI kerajaan perlu menghentikan penganjuran majlis besar-besaran untuk mengelak pembaziran perbelanjaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk pembelian pakaian baharu bagi sesuatu majlis atau program yang dilaksanakan.

Menurutnya, jika amalan itu dapat dihentikan, peruntukan berkenaan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Setiap agensi perlu mengurangkan pembaziran…hentikan pembaziran. Mengurangkan acara yang meriah dan megah.

“Ada jabatan umpamanya, tiap kali majlis atau perayaan, akan ada pakaian baharu, batik baharu dan beberapa persiapan baharu. Saya katakan, kita akan hentikan amalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Anwar berkata, jika penganjuran majlis akan membabitkan pembelian pakaian baharu, ia boleh diedarkan kepada kakitangan gred rendah sahaja.

Sementara itu, dalam kenyataan di Facebooknya, Anwar mahu anjakan yang bermakna dalam menyediakan peluang, tempat dan kemudahan yang selesa buat peniaga di seluruh ibu kota.

Katanya, kota yang didiami ini harus indah dan bersih, tidak hanya untuk gedung-gedung dan konglomerat, tetapi juga penjaja serta peniaga kecil di bawah yang dilengkapi kemudahan asas.

“Saya telah memberikan tempoh selama tiga bulan untuk pihak Bandaraya menekankan tekad ini dan cuba menyelesaikannya sesegera mungkin.

“Langkah ini mesti didukung oleh semua kementerian agar tumpuan pentadbiran saat ini ditumpukan kepada usaha untuk merakyatkan ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

Komen