MINDEF diarah mobilisasi trak ATM ke Terengganu esok – TPM

MINDEF diarah mobilisasi trak ATM ke Terengganu esok – TPM

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) diarah memobilisasikan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa bekalan makanan dan keperluan asas ke Terengganu esok sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir di negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu penting bagi memastikan bekalan makanan, barangan keperluan asas dan pengangkutan seperti bot adalah mencukupi.

“Kerajaan akan mengambil langkah-langkah kesiapsiagaan yang optimum di samping mengkoordinasi semua agensi dan badan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Bukit Mentok di Chukai, Terengganu, hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, koordinasi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dilaksanakan bagi pemantauan penyakit semasa banjir dan pascabanjir.

Katanya, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai daerah di lapan daerah di Terengganu telah diminta supaya mengingatkan penduduk agar segera berpindah apabila diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kelab Putra Malaysia di bawah Biro Kebajikan Umno juga telah menghantar tiga treler yang membawa bantuan makanan bernilai RM180,000 ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kemaman hari ini.

“Kita libatkan Biro Kebajikan Umno kerana kita faham tentang masalah kekurangan kakitangan agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata, jumlah mangsa banjir di Terengganu mencatat penurunan 14 peratus berbanding dua hari lalu.

“Saya berpuas hati dengan penambahbaikan koordinasi yang dilakukan dan berharap sekiranya masih lagi terdapat kekurangan dalam langkah membantu mangsa ia boleh ditambahbaik dengan segera.

“Saya berdoa agar semua penduduk yang terkesan banjir khususnya di Kampung Bukit Mentok ini agar terus kuat dan tabah menempuh dugaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen