Potongan cukai taksiran 30% rumah bawah RM300,000 di Putrajaya- PM

Potongan cukai taksiran 30% rumah bawah RM300,000 di Putrajaya- PM

SEMUA kediaman yang berharga di bawah RM300,000 di Putrajaya layak mendapat potongan cukai taksiran 30 peratus mulai tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, potongan sebanyak 30 peratus itu diberikan kepada premis kediaman yang telah siap dibina pada 2017 sehingga kini yang melibatkan hampir 8,500 unit kediaman.

Menurutnya, pengurangan cukai taksiran akan mula berkuatkuasa mulai 1 Januari 2023 sehingga penilaian semula dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya.

“Saya mendengar rungutan dan pandangan daripada penduduk di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

“Setelah mendapat penerangan lanjut daripada pihak berwajib dan bersetuju bahawa semua kediaman yang berharga di bawah RM300 ribu akan diberikan potongan sebanyak 30 peratus dari jumlah cukai taksiran yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Anwar berkata, pengurangan itu adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutamanya golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.

Sementara dalam hantaran berasingan, Anwar menegaskan tekad utama kerajaan ketika ini adalah membantu meringankan beban hidup rakyat.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

“Saya turut mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membincangkan beberapa perkara dasar dan usaha bagi mendepani permasalahan miskin bandar,” katanya. – Malaysiapost

Komen