PPS kekal dibina di negeri yang sering banjir – Ahmad Zahid

PPS kekal dibina di negeri yang sering banjir – Ahmad Zahid

KERAJAAN bercadang membina pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di lokasi yang sering dilanda banjir di seluruh negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu adalah pendekatan sepanjang masa bagi lokasi yang sering terdedah banjir selain dapat dimanfaatkan oleh semua.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bahawa PPS kekal akan dibina di jajahan yang sering dilanda banjir menggunakan peruntukan yang diperoleh nanti.

“Terdapat dua pilihan sama ada menggunakan kawasan sekolah yang sering dijadikan PPS dengan membina dewan khas selain tanah kosong yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri,” katanya selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor, hari ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri dengan bantuan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan mengenal pasti kawasan berkenaan.

“Dengan adanya PPS kekal ia dapat dimanfaatkan sepanjang masa dan sebagai contoh dewan dalam sekolah, ia boleh digunakan oleh pihak sekolah ketika di luar musim banjir,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut mengarahkan NADMA mewartakan serta merta mana-mana tempat dijadikan PPS yang sebelum ini belum diwartakan bagi membolehkan bantuan disalurkan segera oleh pelbagai agensi.

“Di sini saya mengarahkan NADMA untuk menggazetkan mana-mana tempat secara automatik yang digunakan sebagai PPS oleh mangsa banjir yang sebelum ini belum digazetkan lagi.

“Selepas digazetkan, semua bantuan mesti disalurkan ke PPS berkenaan bagi mengelak birokrasi kerana sebelum ini bantuan hanya disalurkan kepada PPS yang digazetkan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid meninjau kawasan di Kemaman, Terengganu yang terjejas akibat bencana banjir.

Lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa itu adalah kali kedua tanpa diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas negeri itu dilanda banjir sejak Isnin lalu. – Malaysiapost

Komen