Tanah runtuh: 4 mayat ditemui bergulung dalam satu khemah – bomba

Tanah runtuh: 4 mayat ditemui bergulung dalam satu khemah – bomba

EMPAT mayat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Jalan Genting-Batang Kali, ditemukan pagi ini dalam keadaan bergulung dalam satu khemah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah yang mengesahkan perkara itu, berkata susulan penemuan terkini membabitkan empat mayat itu di Sektor C (Riverside) pada kedalaman kira-kira tujuh meter, lapor Berita Harian.

Terdahulu, katanya anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui petanda awal ketika pengorekan dilakukan menggunakan jentera pengaut sebelum menemui mayat jam 11.04 pagi.

“Semasa proses mengeluarkan mayat, pasukan bomba menemui empat mangsa berbalut dalam satu khemah pada kedalaman tanah sedalam tujuh meter.

“Empat mayat itu terdiri dua kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan serta seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa,” katanya pada sidang media di lokasi tragedi itu hari ini.

Suffian berkata, semua mayat ditemui dalam keadaan sempurna dan berpakaian lengkap, namun tubuh mereka sudah mula mereput.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian, justeru pada masa ini kita belum dapat memastikan identiti serta umur mangsa sehinggalah proses pengecaman dan bedah siasat selesai.

“Semua mangsa diperiksa pasukan Pengecam Mangsa Becana (DVI) di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk dibedah siasat dan proses pengecaman,” katanya.

Dalam tragedi jam 2.42 pagi Jumaat lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dengan 61 dilaporkan selamat, manakala 30 lagi disahkan terkorban dan tiga masih hilang. – Malaysiapost

Komen